Sunday 29 April 2012

Terus Berkongsi, Asbab Hidayah Boleh Jadi Milik Kita


    Terus berkongsi, asbab hidayah boleh jadi milik kita. Mungkin sekadar berkongsi sekecil perkara seperti mengkirikan langkah ketika memasuki bilik air tetapi kesannya sangat besar. Di alam siber tanpa sempadan ini boleh menemukan mereka yang jahil dalam hal sebegini, dengan maklumat yang ringkas, tetapi berguna kepada mereka. Kalau difikirkan apalah sangat dengan masuk tandas dengan kaki kiri, tetapi kita perlu ingat bahawa penghuni alam siber ini tiada bezanya dengan alam realiti.

      Melihat kepada keadaan semasa, masih ramai di kalangan masyarakat yang ketandusan maklumat terutama mengenai hal agama. Begitulah apa yang berlaku di alam siber. Perhubungan teknologi serba canggih kini menjadikan maklumat begitu mudah diperoleh. Mereka menjadikan teknologi ini sebagai sumber rujukan pantas. Tidak lagi merujuk kepada orang tertentu. Terus meng’google’ apa yang mereka ingin tahu.

    Pada masa yang sama, perlunya wujud taburan maklumat yang sahih dan jelas bagi memenuhi selera pengguna ini. Lantas, kita perlu menyahut peluang ini untuk menjadi salah seorang penyumbang maklumat yang tepat lagi sahih. Rasulullah pernah bersabda  yang bermaksud;

”Jika mati anak Adam, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu (perkongsian) yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat  Muslim).

     Mungkin anda hanya menulis,”Masuk tandas dengan kaki kiri adalah sunnah.” Bagi mereka yang terbaca dan merasakan baru bagi mereka untuk diamalkan, maka anda menjadi asbab hidayah untuk mereka mengamalkannya dan mengalir pahala mereka kepada anda terus-menerus hingga ke akhirat. Jadi, teruskanlah menulis dan berkongsi.

MOHD MUZIL ADLI BIN NE’MAT
SEMESTER 6
USIM DQ

0 comments:

Post a Comment