Friday 13 July 2012

Salahkah Buat Baik ?!!




“ Kenape kau ni baik sangat ye.. Kau tak takut ke ada orang ambil kesempatan ngan kau nati..? ”

Respon 1         : “Tu lah.. aku risau jugak, tapi.. buat tak taw je lah!!”
Respon 2         : “Ye lah, kena buat baik laa.. nanti orang ingat aku ni ape je..”
Respon 3         : “Takpe lah, yang penting aku ikhlas dan Dia tahu ape yang aku buat..”

Hmm.. pelbagai jenis dan bentuk soalan spontan yang dilemparkan apabila melihat seseorang yang telah melakukan kebaikan, sedang melakukan kebaikan mahupun akan membuat kebaikan.. Begitu juga, 1001 jawapan subjektif akan ditemui dan diluahkan.. Persoalannya disini, SALAHKAH BUAT BAIK?!!

Teringat sebuah hadis dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash r.a., Rasulullah S.A.W bersabda :

“ Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu sekelian adalah yang paling baik budi pekertinya.”

Saya yakin bahawa anda, saya dan semua telah maklum bahawa sifat berbuat baik ini merupakan salah satu nilai yang telah diterap dan diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada seluruh umatnya. Baginda sentiasa berpesan kepada sahabat-sahabat baginda supaya menjaga adab sopan dan tingkah laku walau di mana sahaja berada. Oleh itu, perlulah kita teladani dari kata-kata Imam Nawawi, bahawa “ Jalan yang benar dan paling baik adalah mengikuti sunnah Nabi kita Muhammad S.A.W.

Malangnya, ada juga di antara kita yang teragak-agak untuk buat kebaikan dengan alasan.. “Tak nak la tunjuk aku ni baik sangat, nanti orang kata aku ni wara” ataupun “Alah, buat baik banyak-banyak, terlebih plak pahala aku nanti..”.  Rata-rata beginilah pemahaman kita terhadap amalan ‘buat baik’ ni. Seolah-olah sedikit menyindir. Tetapi AWAS! Bukan bermakna kita dibenarkan untuk menunjuk-nunjuk dalam berbuat kebaikan, tetapi jangan sampai alasan-alasan sebegini yang menjadi penghalang untuk kita menggapai redha Allah S.W.T. dan ingatlah, akan ganjaran Syurga abadi yang dijanjikan kepada ‘si pelaku kebaikan’. Yakinlah!

Sebagaimana sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah S.A.W. pernah ditanya tentang perbuatan apakah yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga?” Baginda menjawab: “Takwa kepada Allah dan budi pekerti yang baik.”  

Oleh itu, apa lagi yang digerunkan untuk melakukan kebaikan?! Takut digelar wara’ kerana terlalu ‘menunjuk’ buat kebaikan?! Ataupun dikhuatiri pahala ‘terlebih-lebih’ dek kerana terlalu banyak buat kebajikan?! Hmm..alangkah ruginya kita.

Oleh itu, buatlah sebanyak mungkin kebaikan dan kebajikan sahabat-sahabat..
Sepertimana firman Allah S.W.T :

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ
“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebaikan”
(Surah Al-Baqarah : 148)

Akhir kalam, pesanan buat diri terutamanya dan juga sahabat-sahabat yang disayangi kerana Allah, buatlah kebaikan dan bagilah manfaat semampunya kepada makhluk sekeliling kita. Yang penting, jangan hanya mengharapkan kebaikan orang lain kepada kita, tetapi cubalah.. usahalah.. ikhtiarlah.. untuk membuat kebaikan kepada orang lain tanpa mengharapkan sedikitpun balasan melainkan daripadaNya. Jadi, tidak salah untuk ‘menjadikan’ diri sebagai Mukmin yang bukan sekadar Muslim, nescaya kita berusaha ke arah Muttaqin dan Mukhlisin. InsyaAllah.

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK BUAT SEMUA MUSLIMIN/MUSLIMAT
Ramadhan Yang Sama, Natijahnya Berbeza”
MAKA, Pastikan Perbezaan Itu Lebih Bermakna Dari Tahun-Tahun Sebelumnya

Wallau’alam.


Disediakan oleh,
Saudari Nurul Huda bt Abdul Rahim
Naib Timbalan Pengerusi PERMAS 11/12

0 comments:

Post a Comment