Cara terbaik, paling mudah untuk membina keinsafan
diri, tanam sikap positif
Washington: Mengingati mati adalah cara terbaik dan
paling mudah untuk membina keinsafan selain menanamkan sikap positif di dalam
diri seseorang.
Analisis kajian saintifik menunjukkan kesedaran
mengenai kematian boleh memperbaiki kesihatan fizikal dan membantu orang ramai
meletakkan semula keutamaan matlamat dan nilai hidup.
Malah, pemikiran secara tidak langsung mengenai
kematian seperti berjalan berhampiran kawasan perkuburan boleh mencetuskan
perubahan positif dan menggalakkan seseorang membantu orang lain, kata pakar
psikologi.
Laporan menyatakan kajian terdahulu mengaitkan
memikirkan mengenai kematian dengan bahaya dan keinginan melakukan keganasan
tetapi jarang menyelongkar faedah mengingati kematian.
“Kecenderungan mengaitkan tindak tanduk negative dan
perangai membahayakan sudah terlalu taksub dalam penyelidikan kesedaran
mengenai kematian dan disifatkan sebagai puncakemusnahan sosial.
“Tidak banyak kajian dilakukan untuk melihat bagaimana
mengingati kematian boleh memberi motivasi dan tindak tanduk positif yang boleh
meminimumkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain serta menggalakkan orang
ramai berkelakuan baik,” kata ketua penulis kajian, Kenneth Vail, dari
Universiti Missouri.
Kajian disiarkan dalam edisi online Personality and
Social Psychology Review bulan ini.
Penulisan merujuk kajian yang dibuat oleh Matthew
Gailliot dan pasukannya dalam Buletin Personaliti dan Psikologi Sosial pada
tahun 2008 yang menguji bagaimana kesan fizikal berada dekat dengan kawasan
perkuburan mendorong individu membantu orang asing.
“Penyelidik mendapati jika budaya membantu dijadikan
penting kepada orang ramai, peningkatan kesedaran mengenai kematian akan
memberi motivasi dalam meningkatkan keinginan tanduk untuk membantu,” kata
Vail.
Penyelidik memantau orang ramai yang sama ada
melintasi kawasan perkuburan atau tidak melalui kawasan itu.
Sukarelawan pada setiap lokasi bercakap dengan orang
ramai mengenai nilai membantu orang lain atau topik lain, dan beberapa saat
kemudian, seorang sukarelawan yang lain menjatuhkan buku notanya.
Penyelidikan kemudian menguji dalam setiap keadaan
bagaimana orang ramai membantu orang asing.
“Apabila nilai membantu orang lain dijadikan ciri
utama, bilangan orang ramai yang membantu orang tidak dikenali 40 peratus lebih
baik di kawasan perkuburan berbanding kawasan jauh di situ,” katanya.
Mengingati kematian juga mempromosikan kesihatan yang
lebih baik. Kajian baru-baru ini menunjukkan apabila mengingati mati orang
ramai memilih gaya hidup lebih baik seperti kurang merokok atau lebih bersenam.
– Agensi
Berita Minggu, Ahad, 22 April 2012
0 comments:
Post a Comment