Tuesday 11 September 2012

Ucapan Sambutan Pelajar Baru USIM-DQ


Assalamualaikum w.b.t.

Yang dikasihi sahabat seperjuangan sekalian .Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t yang masih memberikan kita kehidupan beragama, kehidupan agama yang tiada tandingannya. Kehidupan yang Allah redha apa yang kita lakukan dan kita redha apa yang Allah tentukan. Seperti mana firman Allah Taala  :   رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ     .Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Saidina Muhammad s.a.w dan seluruh sahabat dan tibi'in. (صلوا على النبي).

Pertamanya diucapkan selamat datang kepada adik-adik baru, yang baru sahaja mendaftar masuk ke Usim-Darul Quran. Saya sebagai wakil majlis perwakilan mahasiswa USIM-DQ atau singkatannya PERMAS USIM-DQ mengucapkan أهلا وسهلا kepada kalian dan selamat menempuh dan menjalani pengajian di peringkat ijazah ini. Semoga kita sama-sama mengambil kesempatan dan ruang yang diberikan untuk menambahkan lagi ilmu di dada. 

Saya mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita ikhlaskan niat kita dalam menunaikan kewajipan kita dalam menuntut ilmu. Sepertimana ayat Quran yang selalu kita ulang bilamana menyentuh mengenai perihal niat. Firman Allah Taala :
     وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ          
Sama-sama  ikhlaskan niat kerana Allah taala dan bukannya niat kita datang ke USIM-Darul Quran ini hanya semata kerana ajakan kawan, atau kerana tak mahu berpisah dengan bumi Darul Quran atau kerana mendapat elaun dan sebagainya. Sama-sama kita perbaharui niat kita. Semoga segala usaha dan penat jerih kita nanti dikira sebagai amal soleh.

Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian.

Sepanjang kita berada di alam mencari ilmu dan pengalaman ini, suka saya ingatkan kepada diri saya dan kalian untuk kita sama2 menjaga adab-adab dalam menuntut ilmu. Adab yang dikehendaki dan dituntut dalam Islam yang mana semenjak dari kecil lagi kita ditarbiyyah dengannya. Seperti menjaga adab dengan guru, berpakaian yang sopan, menjaga pertuturan ketika bersama guru, menghormati guru, menghormati sahabat dan juga mereka yang berada di sekeliling kita. Kita juga dituntut untuk menjaga solat kita secara berjemaah dengan sebolehnya, kerana  ini semua adalah asas dalam kita mewujudkan suasana yang berkat dan dilimpahi rahmat tuhan. 

Di sini juga saya suka mengingatkan kepada diri saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita menjaga pergaulan kita dengan seluruh warga Darul Quran dari mereka yang mengurus di bahagian pentadbiran, pensyarah-pensyarah, seluruh kakitangan sehinggalah sahabat diploma dan persijilan. Kita perlu bersyukur kerana masih diberi peluang untuk belajar di bumi yang cukup bertuah ini, dan perlu diingat, kita adalah pelajar USIM, bahkan perlu diingat kita juga adalah pelajar Darul Quran, yang mana masih terikat dengan etika dan undang-undang Darul Quran.

Sahabat yang dihormati sekalian.

Perjuangan dalam menuntut ilmu adalah bukan suatu kerja yang senang dan mudah. kita terpaksa mengorbankan kepentingan peribadi kita dengan meninggalkan kampung halaman untuk datang ke sini semata-mata bagi mencari redha Ilahi. Kita selepas ini akan mengorbankan tenaga,  fikiran dan waktu untuk menuntut ilmu semata-mata, dengan meninggalkan hobi dan minat yang mungkin kita perlu korbankan jika sekiranya berlaku pertembungan keduanya.  Perkara utama yang perlu kita ingat dan ambil berat adalah menjauhkan diri kita dari melakukan maksiat kepada Allah. Kerana maksiat ini akan menghalang cahaya ilmu itu dari menembusi hati kita. seperti mana syair yang sangat masyhur, bagaimana kata Imam Syafie yang cukup memberi kesan kepada kita sebagai pelajar, katanya :

" شكوت الى وكيع سوء حفظي, فأرشدني الى ترك المعاصي, وعلمني بأن العلم نور, ونور الله لا يهدي لعاصي "

Yang bermaksud : "Aku mengadu kepada  kepada guruku  mengenai buruknya hafalanku, maka ditegurku supaya meninggalkan maksiat, dan mengajarkanku bahawa ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya ilmu tak akan menembusi hati pelaku maksiat."

Akhirnya, saya wakil bagi pihak pelajar USIM DQ merakamkan selamat maju jaya kepada adik-adik yang baru saja mendaftar di sini. Kepada pihak pentadbiran USIMDQ sendiri, saya wakil pihak pelajar ingin mengucapkan terima kasih di atas segala usaha bagi menjayakan program ijazah di Darul Quran ini, sepertimana yang kita maklum abang2 dan kakak2 kita generasi pertama sudah berjaya menghabiskan pengajian mereka di sini. segala usaha untuk membantu kami belajar dalam keadaan baik dan tenang kami dahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita bersama dan mengira usaha kita sebagai amal soleh. Sekian, Wasalam.

                                                                                                     Ucapan Pengerusi PERMAS USIM-DQ
                                                                                                     USTAZ YUSHRAF BIN YUSUF 

0 comments:

Post a Comment